21 Jul 2013

Belia diminta lengkapkan diri jadi pemimpin masa depan

SEGAMAT 19 Julai - Golongan belia diminta melengkapkan diri dengan segala pengetahuan untuk menjadi pemimpin pelapis yang bakal mengambil alih kepimpinan sedia ada bagi meneraju negara pada masa akan datang.

Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Anuar Abdul Manap berkata, sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan oleh golongan tersebut untuk mengambil peranan serta tanggungjawab sebagai pemimpin pada masa akan datang, negara akan ketandusan barisan kepimpinan berwibawa yang dapat memainkan peranan di peringkat global.

"Selain itu, barisan kepimpinan sedia ada di semua peringkat juga mestilah memainkan peranan dengan memandu arah dan membimbing serta memberikan peluang kepada golongan tersebut menonjolkan kebolehan mereka.

"Sebenarnya, di peringkat persatuan belia, usaha melahirkan barisan kepimpinan yang berkebolehan sudah lama dilakukan, hanya kebanyakan mereka masih belum berkesempatan diuji di gelanggang sebenar," katanya ketika ditemui semasa menyertai Program Kembara Indah Ramadan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemimpin sedia ada dan masyarakat diharap tidak menghukum golongan tersebut yang berhasrat menonjolkan kebolehan mereka sebagai seorang gila kuasa atau cuba melakukan rampasan kuasa, sebaliknya membimbing mereka menjadi pemimpin sejati.

Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang turut menasihatkan golongan belia yang berhasrat menjadi pemimpin supaya tidak 'gelojoh', sebaliknya harus belajar untuk memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berjaya serta menilai kemampuan diri.

Menurutnya, keghairahan untuk menjadi pemimpin dalam kalangan anak muda boleh membuatkan mereka hilang pertimbangan dan terlupa cara untuk menghormati golongan yang lebih berpengalaman dan sikap tersebut harus dielakkan.

"Sebenarnya kerjasama antara kedua-dua golongan ini harus dipupuk dengan baik bagi melahirkan suasana harmoni supaya memberikan ruang kepada proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan teratur.

"Jika tidak, semuanya menjadi bercelaru dan rugi terutama negara yang mungkin akan kehilangan seorang pemimpin yang mampu mengangkat martabat bangsa dan negara di mata dunia," katanya.




© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment