12 Oct 2012

Sembang Santai Belia @ Sulir Corner

Program Sembang Santai Belia Persatuan Belia Sulir
Tempat : Sulir Corner
Masa : 8.30 malam - 11.00 malam
Tarikh : 11 Oktober 2012



6 Aug 2012

Jadual Program Rakan Muda Ramadhan 2012

Program Rakan Muda Ramadhan 2012

11 Ogos - Sab - Masjid Paya Pulai - Sekijang
12 Ogos - Ahd - Masjid Segamat Baru - Sekijang
12 Ogos - Ahd - Masjid Felda Tenang - Labis
14 Ogos - Sel - Masjid Felda Kemelah - Sekijang
15 Ogos - Rab - Masjid Syed Alwi Bt Anam (Peringkat Daerah) - Segamat
16 Ogos - Jum - Masjid Bandar Labis - Labis
17 Ogos - Sab - Masjid Pekan Jementah - Segamat
17 Ogos - Sab - Masjid Kg Temu Jodoh, Chaah - Labis

Pegawai Pemantau MBDS;

Parlimen Sekijang - Tn Hj Md Salleheen Mohamad
Parlimen Labis - Ust. Khairulnizam Ab Manap
Parlimen Segamat - Sdra Affizzulnizam Jamalludin

Golongan belia dalam daerah Segamat dijemput untuk hadir ke setiap majlis yang bakal diadakan.

31 Jul 2012

Ramadhan Al-Mubarak

Majlis Belia Daerah Segamat mengucapkan Selamat Meyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak.


Pihak MBDS akan bekerjasama dengan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat dan beberapa organisasi lain untuk menganjurkan beberapa program sempena bulan mulia ini. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian dan diharap para belia yang berkesempatan dapat sama-sama turut serta memeriahkan program-program yang bakal diadakan.

15 May 2012

Selamat Hari Belia

Selamat Hari Belia diucapkan semua rakan-rakan belia Daerah Segamat. Majlis Belia Negeri Johor akan menganjurkan sambutan Hari Belia Prgkt Negeri pd 17-20 hb di Johor Bahru. Dijemput semua belia beramai-ramai memeriahkan Karnival yang bakal diadakan.

posted from Bloggeroid

25 Apr 2012

Semakan Kemasukan Matrikulasi 2012

Khas untuk adik-adik lepasan SPM 2011 yang telah memohon kemasukan ke Matrikulasi, boleh menyemak keputusan permohonan dengan cara;

1. Semakan Online melalui laman web bahagian Matrikulasi di pautan ini;

http://apps.moe.gov.my/matrikulasi/tawaran/

2. Semakan melalui SMS dengan cara;

Taip MOE (jarak) MAT (jarak) No.KP (tanpa sempang) dan hantar kepada 15888

Contoh: MOE MAT 920605051542 dan hantar ke 15888

2 Mar 2012

TEKNIK MENAIP PANTAS@KEMAHIRAN MENAIP

ANDA LETIH MENAIP 'COMPUTER KEYBOARD' UMPAMA "AYAM MEMATUK DEDAK"?

Jika berminat mempelajari TEKNIK MENAIP PANTAS@KEMAHIRAN MENAIP dengan menggunakan kesemua 10 jari jemari anda dalam TEMPOH 20 JAM (SATU SESSI-5 JAM)

Tempat :- MAKMAL KOMPUTER, KOLEJ KOMUNITI SEGAMAT (Bandar Putra)

Durasi Kursus :- 5 jam satu sessi (4 sessi bersamaan 20 jam)

Tarikh & Hari & Masa :- 3, 10, 17, 24 Mac 2012 (SABTU), 8.30am-1.30pm

Had Umur Peserta :- 15 tahun dan keatas (terbuka kepada semua bangsa)

*Mode Kursus :- Teori beserta 'Hand out' & Praktikal menggunakan 'Typing & Keyboarding Software'

Yuran Kursus : RM5 hingga RM10 seorang (dibayar semasa menghadiri Kursus kelak)

Sukacita dimaklumkan 'KURSUS PENDEK' menaip pantas@KEMAHIRAN MENAIP dengan menggunakan KESEMUA JARI JAMARI ANDA akan diadakan seperti di bawah:-

BERMINAT/ ingin mengajukan SEBARANG PERTANYAAN:-

Sila hubungi / sms Noor Amin Ramli di nombor 017-799 2579 atau email melalui: nooramin2579@gmail.com / pm facebook saya dengan menyertakan:-

1. Nama Penuh
2. No. Kad Pengenalan
3. Alamat Kediaman
4. No. Telefon untuk dihubungi.

*PENDAFTARAN AWAL AMATLAH DI ALU-ALUKAN KERANA TEMPAT ADALAH TERHAD.

*SIJIL KURSUS AKAN DIKELUARKAN OLEH KOLEJ KOMUNITI SEGAMAT(BANDAR PUTRA)

16 Feb 2012

Belia Masa Depan Negara

“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.” Itulah kata kata yang lahir daripada Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi.
Kita boleh katakan bahawa apa yang dimaksudkan oleh beliau ini sebagai generasi muda yang merujuk kepada golongan belia kerana merekalah yang bakal mewarnai corak peradaban bangsa pada masa hadapan.
Nilai kepentingan belia kepada pembangunan negara dapat juga diperhatikan melalui cogankata-cogankata yang sering dikaitkan dengan golongan mereka seperti ‘Belia Tonggak Negara’, ‘Belia Harapan Bangsa’, ‘Belia Cemerlang dan Negara Gemilang’, ‘Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok’ dan sebagainya.
Mengikut Dasar Pembangunan Belia dan Akta Pertubuhan Belia serta Pembangunan Belia Malaysia, belia ditakrifkan dalam akta ini sebagai seseorang yang berumur tidak kurang lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun. Sehingga tahun 2010 jumlah belia dianggarkan 15.1 juta atau 45.5% daripada keseluruhan penduduk negara. Memandangkan jumlah golongan belia yang agak besar, maka sumbangan dan tanggungjawab belia juga dilihat begitu besar.
Sesungguhnya, tanggungjawab besar belia pada hari ini adalah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Pada usia muda ini jugalah dianggap sebagai tempoh waktu yang penting bagi tujuan pembentukan generasi pelapis kerana pada usia ini berlakunya pertumbuhan jasmani, pemikiran, akhlak serta bakat seseorang itu berada pada tahap yang sangat sesuai untuk menyerap sebarang pendekatan, pemikiran serta ilmu pengetahuan.
Maka tidak hairanlah, ada yang mengatakan pada peringkat ini, golongan belia berada dalam tahap paling baik untuk melakukan perancangan dan tindakan yang boleh membantu kemajuan dirinya dan juga ummah.
Namun begitu, apa yang dapat kita lihat dalam suasana semasa, dalam arus kemodenan dan kemajuan ini, golongan belia menghadapi cabaran sangat hebat. Golongan ini bukan sahaja terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sihat seperti budaya Hedonisme iaitu yang suka berfoya-foya, dan berhibur dengan keterlaluan dan melalaikan, bahkan mereka seringkali dikaitkan dengan kegiatan penagihan dadah, zina, sumbang mahram, maksiat, rogol, rempit, ragut, lumba haram dan sebagainya.
Perangkaan yang ditunjukkan sejak tahun 2001 sehingga Mei 2008 mencatatkan 4,182 penunggang motosikal ditahan dan 3,970 daripada mereka yang berusia 16 tahun. Ini tidak termasuk mereka yang meninggal dunia akibat lumba haram. Berdasarkan kepada maklumat yang dikeluarkan oleh Persatuan Mecegah Dadah Malaysia (Pemadam) pada tahun 2005 sahaja, bilangan penagih dadah di kalangan golongan belia yang berusia antara 16-39 tahun berjumlah 23, 699 orang atau 72.23%.
Mungkin pada hari ini jumlah ini sudah bertambah. Apakah punca permasalahn ini terus berlaku? Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al Attas, permasalahan golongan ini antaranya berpunca daripada kekeliruan mereka terhadap faham ilmu dan kehilangan adab dalam masyarakat. Persoalannya sekarang, bagaimana untuk mempersiapkan belia ini bagi persediaan untuk memartabatkan dan memperkasakan agama masa akan datang?
Jika dimbas semasa zaman kegemilangan tamadun Islam, antara tokoh belia yang perlu dicontohi ialah Usama Bin Zaid yang ketika itu berusia 18 tahun telah menjadi panglima perang untuk menentang kerajaan Rom di Syam. Begitu juga semasa perkembangan Islam di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Ibni Abi Talib, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi para sahabat nabi yang ketika itu menjadi pelopor kepada kebangkitan dan menjadi penggerak dan sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah s.a.w. Kebanyakan mereka pada ketika itu, berusia kurang daripada 40 tahun.
Melihat kepada suasana semasa, bagaimana sejarah lampau ini dapat diulangi semula, jika sebahagaian besar golongan belia tidak mempunyai kesedaran untuk memajukan diri dan ummah? Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, maka golongan belia ini perlu meletakkan diri mereka sebagai penggerak dan pembina tamadun yang unggul, yang dihormati oleh masyarakat dunia.

31 Jan 2012

Kad Nama MBD Segamat ditempah khas dari London





Kad nama ditempah dari moo.com secara PERCUMA!. Malangnya ketika ini,tawaran tersebut telah berakhir. Sesiapa berminat untuk membeli kini perlu membayar 10 EURO untuk 50 keping kad.

21 Jan 2012

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2012

Majlis Belia Daerah Segamat mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2012 , dan selamat bercuti. Kepada para belia, penuhi masa cuti ini dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. Kepada yang pulang ke kampung, pandulah dengan berhati-hati.

7 Jan 2012

Belia & Politik

kartun-aktivis-2-165x226 Apabila saya menyebut belia, saya maksudkan golongan yang berumur antara 17 hingga 40 tahun. Manakala definisi politik yang saya gunapakai ialah proses di mana sekumpulan manusia membuat keputusan kolektif. Perkataan ini berasal dari bahasa Greek yang bermaksud urusan negara. Walaupun politik begitu sinonim dengan proses kenegaraan atau kerajaan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan daripada kita, saya cuba bawakan definisi lebih luas yang merangkumi  aspek hubungan sosial dalam pelbagai institusi kemasyarakatan yang dibentuk dari sel-sel yang merupakan individu atau rakyat perseorangan. Maksud politik yang ingin saya huraikan juga jauh dari politik kepartian yang mendominasi persada negara kita buat masa ini.
Hakikatnya, tahap kepedulian golongan belia Malaysia terhadap politik berada pada tahap yang sangat rendah. Salah satu indikator yang menyokong fakta tersebut ialah statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 4.39  juta atau 28 peratus rakyat negara kita yang berkelayakan masih belum mendaftar sebagai pengundi dan majoritinya adalah terdiri dari golongan muda. Dan anda mungkin merupakan salah seorang daripada mereka!
Bagi mengupas isu ini secara adil dan tepat, skop perbincangan perlu diperluas kerana saya berpendapat mendaftar sebagai pengundi cuma merupakan salah satu indikator kepedulian belia terhadap politik, namun bukan tanda aras sebenar. Malah para belia dan telah berdaftar dan membuang undi dalam setiap pilihanraya sekalipun tidak bermakna mereka benar-benar memahami, menghargai dan mengambil berat tentang politik serta pelbagai isu sekitarnya.
Antara indikator lain yang ingin saya bawakan ialah penglibatan anak-anak muda dalam pesatuan-persatuan belia di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa hanya 2.9 peratus golongan belia yang menyertai dan bergiat aktif di dalam persatuan belia atau badan bukan kerajaan (NGO) di negara kita. Golongan belia selebihnya saya bahagikan kepada dua. Yang pertama ialah belia-belia yang mengisi statistik keruntuhan moral kronik yang melanda negara seperti lumba haram, seks bebas, dadah, gengsterisme, jenayah juvana, hiburan melampau dan banyak lagi. Manakala golongan kedua ialah generasi muda yang duduk berdiam diri dengan agenda kehidupan masing-masing tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling.
Tanpa perlu pergi lebih jauh, cuba anda perhatikan realiti di kawasan setempat anda. Berapa ramaikah para belia yang terlibat dengan institusi kemasyarakatan setempat seperti Ahli Jawatankuasa (AJK) surau dan masjid, persatuan-persatuan penduduk serta badan-badab kebajikan dan sukarelawan masyarakat lainnya. Kemungkinan besar, jari-jemari di tangan anda sudah cukup untuk menghitungnya! Kita belum berbicara tentang memegang jawatan-jawatan utama dalam mewakili rakyat setempat di arena politik tanahair. Jika institusi kecil masyarakat pun dipandang sepi, apatah lagi tangungjawab dan kedudukan yang lebih tinggi untuk memacu pentadbiran dan pembangunan negara.
Di mana silapnya?
Memahami tabiat golongan belia dan percaturan politik setempat merupakan pra-syarat kepada pemahaman yang tepat kepada punca kemelut ini.  Secara ringkas, saya dapat simpulkan punca utama kepada komplikasi ini ialah hilangnya jatidiri dan karakter dalam diri anak-anak muda kita hari ini. Mereka kehilangan identiti diri, kabur matlamat hidup, hanyut dibawa arus deras hedonisme serta hilang sokongan sosial masyarakat sekeliling. Akhirnya mereka hanya mampu mengisi statistik-statistik keruntuhan moral yang saya sebutkan sebelum ini. Jika diri sendiri pun tidak mampu dipimpin, apalagi yang mahu diharapkan daripada mereka?
Namun, masih ada sebilangan kecil belia yang bernasib baik. Mereka berperibadi bersih, berpendidikan tinggi dan mempunyai status sosial yang baik. Tetapi permasalahan lain pula yang melanda. Pertama, matlamat hidup yang berbentuk individualisme dan meminggirkan sumbangan kepada agama dan negara. Kedua, pendedahan dan kefahaman yang dangkal tentang konsep politik  dan aplikasinya. Selain itu, generasi belia hari ini juga tidak memahami kepentingan politik dalam membangunkan agenda bangsa dan agama.
Secara realiti, ketika di bangku sekolah, perihal politik langsung tidak diendahkan kerana pada persepsi mereka politik merupakan urusan ‘orang-orang dewasa’. Malah ketika mula berkecimpung dalam alam universiti atau kolej, sistem politik kampus yang persis politik kepartian negara ternyata menyebabkan mereka kecewa dan mengambil langkah mengundurkan diri. Setelah berkerjaya, kesibukan kerja dan pengurusan keluarga menjadikan mereka terus jauh dari terlibat dengan masyarakat setempat dan politik secara amnya.
Dapat simpulkan bahawa kehendak dan hasrat golongan ‘emas’ ini yang tidak mampu ditampung oleh sistem politik tempatan semasa menjadi punca utama. Lantas lahirlah golongan belia yang berpendapat bahawa politik tidak ada kaitan langsung dengan kehidupan mereka. Mereka turut merasakan bahawa ahli politik yang dilantik tidak mampu mewakili hasrat dan agenda generasi muda disebabkan jurang umur, status ekonomi dan latar belakang pendidikan yang ketara.
Pelbagai usaha termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, perlaksanaan dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond, Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998) ternyata tidak banyak mengubah fenomena pembangunan belia serta penglibatan mereka dalam menyumbang terus kepada masyarakat dan negara.
Jadi, apakah masa depan belia negara dalam menggarap politik setempat? Ya, sudah tentu ianya banyak bergantung kepada peranan bersama institusi keluarga, sistem pendidikan, media massa, badan-badan bukan kerajaan, serta kerajaan sendiri untuk membina jatidiri generasi muda serta mengurangkan  kalau tidakpun menutup terus jurang antara golongan ini dan arena politik itu sendiri. Pemahaman politik yang jelas serta perlaksanaannya dalam bentuk yang sihat perlu diterapkan kepada golongan muda demi memastikan penglibatan mereka yang lebih proaktif dan agresif dalam arena ini.
jangandiam

Sebagai contoh, pengalaman peribadi saya menghadiri Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Sejarah Bangsa anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ternyata memberikan pengalaman yang berharga. Melalui pemerhatian kasar saya, lebih 80 peratus daripada peserta konvensyen yang membincangkan perihal politik tanahair merupakan golongan belia terutamanya para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Walaupun, kehadiran satu program ini tidak mencerminkan keadaan keseluruhan belia negara, saya tetap optimis ianya merupakan suatu petanda baik yang perlu disuburkan demi melihat peranan yang lebih besar dimainkan oleh golongan belia dalam arena politik negara. Lebih banyak program-program seumpama ini serta aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat, kesukarelawanan, kursus-kursus kepimpinan dan jatidiri perlu dianjurkan bagi mendidik generasi muda kita asas-asas politik sebelum mereka berkecimpung dalam bidang politik yang lebih mencabar.
Nukilan,
Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad.
Pengerusi,
PEMBINA Melaka.