27 Feb 2012

Gambar Sekitar Karnival 1 Malaysia

Sekitar Karnival 1 Malaysia pada 11 Februari 2012 di Dataran Segamat.
















16 Feb 2012

Belia Masa Depan Negara

“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.” Itulah kata kata yang lahir daripada Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi.
Kita boleh katakan bahawa apa yang dimaksudkan oleh beliau ini sebagai generasi muda yang merujuk kepada golongan belia kerana merekalah yang bakal mewarnai corak peradaban bangsa pada masa hadapan.
Nilai kepentingan belia kepada pembangunan negara dapat juga diperhatikan melalui cogankata-cogankata yang sering dikaitkan dengan golongan mereka seperti ‘Belia Tonggak Negara’, ‘Belia Harapan Bangsa’, ‘Belia Cemerlang dan Negara Gemilang’, ‘Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok’ dan sebagainya.
Mengikut Dasar Pembangunan Belia dan Akta Pertubuhan Belia serta Pembangunan Belia Malaysia, belia ditakrifkan dalam akta ini sebagai seseorang yang berumur tidak kurang lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun. Sehingga tahun 2010 jumlah belia dianggarkan 15.1 juta atau 45.5% daripada keseluruhan penduduk negara. Memandangkan jumlah golongan belia yang agak besar, maka sumbangan dan tanggungjawab belia juga dilihat begitu besar.
Sesungguhnya, tanggungjawab besar belia pada hari ini adalah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Pada usia muda ini jugalah dianggap sebagai tempoh waktu yang penting bagi tujuan pembentukan generasi pelapis kerana pada usia ini berlakunya pertumbuhan jasmani, pemikiran, akhlak serta bakat seseorang itu berada pada tahap yang sangat sesuai untuk menyerap sebarang pendekatan, pemikiran serta ilmu pengetahuan.
Maka tidak hairanlah, ada yang mengatakan pada peringkat ini, golongan belia berada dalam tahap paling baik untuk melakukan perancangan dan tindakan yang boleh membantu kemajuan dirinya dan juga ummah.
Namun begitu, apa yang dapat kita lihat dalam suasana semasa, dalam arus kemodenan dan kemajuan ini, golongan belia menghadapi cabaran sangat hebat. Golongan ini bukan sahaja terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sihat seperti budaya Hedonisme iaitu yang suka berfoya-foya, dan berhibur dengan keterlaluan dan melalaikan, bahkan mereka seringkali dikaitkan dengan kegiatan penagihan dadah, zina, sumbang mahram, maksiat, rogol, rempit, ragut, lumba haram dan sebagainya.
Perangkaan yang ditunjukkan sejak tahun 2001 sehingga Mei 2008 mencatatkan 4,182 penunggang motosikal ditahan dan 3,970 daripada mereka yang berusia 16 tahun. Ini tidak termasuk mereka yang meninggal dunia akibat lumba haram. Berdasarkan kepada maklumat yang dikeluarkan oleh Persatuan Mecegah Dadah Malaysia (Pemadam) pada tahun 2005 sahaja, bilangan penagih dadah di kalangan golongan belia yang berusia antara 16-39 tahun berjumlah 23, 699 orang atau 72.23%.
Mungkin pada hari ini jumlah ini sudah bertambah. Apakah punca permasalahn ini terus berlaku? Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al Attas, permasalahan golongan ini antaranya berpunca daripada kekeliruan mereka terhadap faham ilmu dan kehilangan adab dalam masyarakat. Persoalannya sekarang, bagaimana untuk mempersiapkan belia ini bagi persediaan untuk memartabatkan dan memperkasakan agama masa akan datang?
Jika dimbas semasa zaman kegemilangan tamadun Islam, antara tokoh belia yang perlu dicontohi ialah Usama Bin Zaid yang ketika itu berusia 18 tahun telah menjadi panglima perang untuk menentang kerajaan Rom di Syam. Begitu juga semasa perkembangan Islam di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Ibni Abi Talib, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi para sahabat nabi yang ketika itu menjadi pelopor kepada kebangkitan dan menjadi penggerak dan sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah s.a.w. Kebanyakan mereka pada ketika itu, berusia kurang daripada 40 tahun.
Melihat kepada suasana semasa, bagaimana sejarah lampau ini dapat diulangi semula, jika sebahagaian besar golongan belia tidak mempunyai kesedaran untuk memajukan diri dan ummah? Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, maka golongan belia ini perlu meletakkan diri mereka sebagai penggerak dan pembina tamadun yang unggul, yang dihormati oleh masyarakat dunia.